Sunday, 4 May 2014

Cerpen: Sampai Menutup Mata

4hb Feb 06
“Yusof,makan ubat dulu.. Mak Jah tengok, Yusof dah lama tak sentuh ubat-ubat nie. Yusof tak ingat ke pesan doktor..?” Yusof mengeluh. Kata-kata Mak Jah, pengasuhnya tidak diedahkan.
“Papa dengan Mama dah balik ke balum Mak Jah..?” Soal Yusof. Mak Jah menggeleng perlahan. Yusof mengeluh lagi. Kali ini lebih kuat. Mak Jah memandang dengan pandangan simpati.
“Diorang sibuk, Yusof.. Yusof kena faham..” Rambut Yusof diusap lembut. Faham dengan perasaan anak asuhannya itu.
“Kalau ye pun sibuk, takkan sampai kebajikan anak sendiri pun diorang tak nak ambik peduli. Yusof dah bosan, Mak Jah.. Yusof perlukan kasih-sayang, bukan ubat-ubat nie semua..” Serentak dengan itu Yusof menepis talam berisi ubat di atas mejanya itu. Tanpa mengedahkan panggilan Mak Jah, dia terus melangkah meninggalkan kamarnya. Mak Jah hanya mampu melihat motor yang ditunggang oleh Yusof berlalu pergi.


7hb Feb 06
Zulaikha tersenyum puas. Dalam tempoh dua minggu dia berjaya menyesuaikan dirinya di tempat kerjanya itu. Senyuman manis dihadiahkan kepada pengunjung yang kebanyakannya terdiri dari golongan remaja yang meminati dunia muzik. Dia membelek-belek CD dan kaset yang terdapat dirak. Sesekali dibetulkan CD dan kaset yang nampak kurang kemas.
Tiba-tiba, matanya menangkap sepasang mata yang sejak tadi sedang asyik merenung ke arahnya. Setahu Zulaikha, semenjak dia bekerja di sini pemuda ini selalu mengunjungi kedai ini, tetapi tidak sekali pun dia melihat pemuda itu membeli di sini. Dahi Zulaikha berkerut apabila sebaik sahaja matanya mendarat ke arah pemuda yang bertopi itu, pemuda itu akan berpaling ke arah lain seperti tiada apa-apa yang berlaku. Ringan sahaja kakinya melangkah ke arah pemuda itu.
“Boleh saya bantu..?” Pemuda itu tersentak. Bulat matanya merenung Zulaikha yang berada di hadapannya kini.
“Er..saya..” Topi di kepala dicabut. Pemuda itu kelihatan gugup.
“Encik nak beli CD atau kaset..?” Soal Zulaikha lagi. Soalannya menambah kegugupan lelaki tersebut.
“Er, bagi saya… CD la..” Zulaikha tersenyum manis. Memang itu pesanan majikannya, maniskan senyuman.
“Encik nak CD lagu yang mana satu..?”
“Er..yang ini..” CD lagu kumpulan Indonesia yang terkenal dalam kalangan anak remaja masa kini diangkat. Pantas Zulaikha mencapai CD itu lalu menuju ke kaunter bayaran. Pemuda itu tadi membontotinya.
“Rm19, encik..” Ujar Zulaikha tersenyum. Lelaki itu mengeluarkan duit yang dipinta lalu duit dan CD itu bertukar tangan.
“Terima kasih, encik.. Sila datang lagi..” Tutur Zulaikha mesra. Pemuda itu hanya tersenyum lalu melangkah meninggalkan kedai tanpa menyedari mata Zulaikha tidak jemu merenungnya dari jauh.

  
Yusof tepuk dahi. CD yang dibeli tadi dilempar ke atas meja bacaannya. Tubuhnya dihentak ke atas katil.
“Apsal aku boleh sangkut tadi..? Bila la aku dapat cakap dengan dia, tanya nama dia, duduk kat mana..? Kenapa susah sangat Yusof..? Susah sangat ke nak tanya..? Aduh.. peluang dah ada depan mata tadi, apsal tak ambik.. Bodoh..” Yusof menyumpah dirinya.
Peristiwa tadi benar-benar membuatkan dia malu sendiri. Dia tahu, semenjak dia lalu di hadapan kedai itu hidupnya benar-benar berubah. Saat dia terpandang wajah gadis bertudung litup itu, dia benar-benar merasakan dirinya bersemangat semula. Seolah-olah, tubuhnya yang dahulu selalu lemah kini semakin bertenaga. Dan, di kedai itu juga dia menghabiskan waktu merenung wajah gadis yang kaya dengan senyuman dan budi bahasa itu. Yusof tersenyum. Entah kenapa hari ini dirinya tertangkap oleh gadis itu kerana asyik merenung ke arah tuan empunya wajah itu.
“Mesti dia tengah ketawakan aku sekarang.. Betul juga kata pepatah itu, ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua’..” Yusof tersenyum.


9hb Feb 06
Zulaikha memerhatikan gerak-geri pemuda yang berada di hadapannya itu. Ketawanya meletus di dalam sanubarinya .Entah kenapa dia begitu tertarik dengan gelagat pemuda itu. Sesekali pemuda itu menggaru kepala seperti dalam menghadapi suatu bebanan di dalam mindanya.
“Encik, boleh saya bantu…? Encik nampak macam ada masalah untuk memilih CD ini..” Tutur Zulaikha lembut. Pemuda itu tersenyum.
“Awak ingat tak, saya pernah beli CD kat kedai nie 2 hari lepas..?” Kening Zulaikha terangkat.
“Mungkin kot.. Saya nie bukan sorang dua orang je pelanggannya, ramai..”Balas Zulaikha acuh tak acuh. Merah muka pemuda di hadapannya itu. Sedar dirinya tersindir dengan kata-kata itu tadi.
“Oh, tak pelah kalau macam tue.. Saya ingat nak cari satu lagi yang macam saya beli 2 hari lepas..” Muka pemuda itu jelas nampak kecewa. Kecut perut Zulaikha melihat pemuda itu ingin melangkah pergi.
“Encik, maksud encik yang ini ke..?” Pemuda itu berhenti melangkah seraya berpaling ke arah Zulaikha. Bibirnya mengukir senyuman apabila melihat CD yang dipegang oleh Zulaikha itu.
“Ha, yang ini la saya cari..” Zulaikha senyum lalu menuju ke kaunter bayaran. Seperti 2 hari lalu, pemuda itu membontotinya.
“Rm19, encik..” Pemuda itu merenung Zulaikha sambil tersenyum. Berkali-kali Zulaikha cuba memanggil pemuda. Namun, masih tiada respon dari pemuda itu.
“Encik..” Kali ini suara Zulaikha keras. Cuba menyedarkan pemuda yang nampak sedang menggelamun itu.
“Saya suka awak..” Wajah Zulaikha kaget memandang pemuda di hadapannya itu.
“Er.. maafkan saya. Berapa harga CD nie..?” Soal pemuda tersebut gugup. Mukanya merah padam. Sedar akan ketelanjurannya tadi.
“Rm19, encik..” Balas Zulaikha lembut. Seperti biasa CD dan duit bertukar tangan. Zulaikha menatap langkah pemuda itu pergi dengan pandangan yang sukar ditafsir.


Yusof merenung dua keping CD yang masih tidak terusik. Dia betul-betul malu dengan apa yang terjadi ketika di kedai CD itu sebentar tadi. Wajah gadis itu benar-benar membuatkan dia tidak keruan. Yusof tersenyum mengingati perbuatan bodoh dan sia-sianya itu. Membeli CD hanya untuk mencipta alasan mendekati gadis itu.
“Yusof, dah makan ubat..?” Suara Mak Jah di muka pintu dibiarkan tanpa sahutan. Dia sudah bosan dengan pertanyaan itu. Daun pintu dikuak. Muncul Mak Jah dengan pandangan kasih-sayang. Sejak kecil Mak Jah merupakan tempatnya menumpang kasih apabila mama dan papanya sibuk di pejabat. Dia sendiri sudah lali dengan kesibukan mama dan papanya.
“Mak Jah, kan Yusof dah kata yang Yusof tak nak makan ubat..” Yusof merebahkan tubuhnya ke atas katil. Mukanya ditekap ke bantal. Mak Jah hanya menggeleng melihat gelagat Yusof yang tak ubah seperti kanak-kanak kecil yang sedang merenget itu.
“Yusof, dengar cakap Mak Jah..” Yusof bangun dengan malas. Botol ubat yang berada di meja kecil di sebelah katilnya itu dicapai. Lalu di telan dua biji ubat yang diambil dari dalam botol tersebut. Air masak di dalam gelas diteguk.
“Ha, macam tue la anak Mak Jah..” Mak Jah senyum. Matanya dilemparkan ke sekeliling bilik anak asuhannya itu. Matanya terhenti saat terpandang lakaran wajah seseorang di atas kertas putih yang tertampal di dinding bilik itu. Ringan saja kakinya melangkah ke arah lakaran wajah itu.
“Eh, Mak Jah tak tahu pun Yusof pandai melukis. Sejak bila Yusof pandai melukis nie..? Cantik gambar budak nie..” Yusof senyum. Teringat gadis yang bertudung litup itu.


11hb Feb 06
Zulaikha menatap wajahnya di cermin. Hari ini rombongan merisik akan bertandang ke rumahnya. Entah kenapa Zulaikha seperti dibebani satu perasaan. Dan, wajah pemuda yang sering bertandang di kedai tempatnya bekerja itu terbayang di ruang matanya. Peristiwa 2 hari lalu benar-benar begitu menghantuinya.
“Saya suka kat awak..” Kata-kata itu masih terpahat di dalam fikirannya. Zulaikha ketap bibir. Kak Zu di sebelah tersenyum melihat Zulaikha yang bertudung litup itu. Nampak ayu dengan solekan tipis di wajahnya.
“Zulaikha, kenapa kakak tengok muka Zulaikha muram je dari tadi..? Ceria la sikit.. Rombongan merisikkan nak datang hari nie kan..?” Zulaikha menghadiahkan senyuman kelat.
“Kak, Syed Zarif tue macam mana orangnya..?” Soal Zulaikha resah. Kak Zu tersenyum. Wajah adiknya itu ditatap.
“Kak Zu rasa betul ke tindakan Zulaikha nie..? Zulaikha rasa macam... Er.. Entahlah..” Dahi Kak Zu berkerut.
“Zulaikha, kenapa nie..? Cerita dekat kakak, sayang. Apa dah jadi..?” Zulaikha membatu. Sukar untuk membuat kakaknya itu mengerti.
“Zulaikha tak dapat nak terima Syed Zarif.” Satu ayat itu terpancul dari mulut manis Zulaikha. Semua yang menunggu di dalam bilik kaget. Zulaikha ketap bibir.


25hb Feb 06
Zulaikha menunggu dengan resah. Menunggu kedatangan pemuda yang dulu kerap berkunjung di kedai ini. Masuk hari ini hampir 2 minggu pemuda tersebut tidak muncul di kedai ini.
“Mungkin dia segan dengan kejadian hari tue kot..” Tafsir Zulaikha sendiri. Dia menuju ke kaunter bayaran apabila menyedari pelanggannya mula bertambah.
“Hai..” Zulaikha tersentak. Suara itu begitu dikenalinya. Pemuda itu tersenyum memandang Zulaikha yang nampak kaget dengan kedatangannya itu.
“Oh, awak..” Zulaikha tersenyum.
“Saya nak..”
“Oh, saya tahu.. Awak nak CD yang macam hati tue kan.Saya dah sediakan untuk awak..” Dahi pemuda itu berkerut melihat Zulaikha yang kelam-kabut menghulurkan CD yang sama seperti sebelum ini.
“Harganya Rm19, encik..” Pemuda itu tersenyum sambil menghulurkan wang yang dipinta. Pemuda itu berlalu seperti biasa. Tetapi kali ini dia berpaling memandang Zulaikha yang sedang asyik merenung ke arahnya tanpa pengetahuaannya. Muka Zulaikha memerah.


Seperti biasa, Yusof melemparkan CD ke meja tulisnya. Bengang dengan kelemahannya yang kerap tewas dengan perasaannya sendiri. Entah kenapa dia begitu berat untuk meluahkan perasaannya terhadap gadis bertudung litup itu tadi. Sehelai kertas putih dan pensel dicapai. Perlahan-lahan dia melakar wajah gadis itu. Entah kenapa pada pandangannya, wajah gadis itu begitu unik. Redup apabila memandangnya. Senyuman yang sentiasa mekar itu sentiasa menghiasi wajahnya yang begitu mengasyikan.
“Ya Tuhan, terima kasih kerana menemukan aku dengan seorang gadis yang begitu membuatkan aku terpesona dengan kejadian-Mu yang tiada cacat celanya. Kau terlalu hebat dan penyayang Ya Allah.. Aku berterima kasih pada-Mu yang memberi aku kesempatan untuk menyelami apa itu makna sebuah percintaan sebelum aku menutup mata ini buat selama-lamanya..” Yusof memejam mata. Tangannya masih ligat menyiapkan lakaran wajah gadis misteri yang berjaya menyentuh naluri remajanya. Namun, kepalanya semakin berat. Perlahan-lahan tangannya terkulai. Jari-jarinya melepaskan pensel yang tadi enak menari mengikut irama gerak jemarinya. Kini tidak lagi menari ligat. Yang hanya sempat didengar, jeritan Mak Mah yang semakin kuat beserta tangisan. Dan segala-galanya gelap-gelita selepas itu.


4hb Mei 06
Zulaikha mengeluh. Setiap kali menyedari ada pelanggan yang berkunjung di kedai ini, dia akan memandang di pintu utama. Cuba mencari pemuda yang selalu berkunjung di sini 3 bulan yang lalu. Tetapi hampa. Entah kenapa, semangat untuk dia terus hidup hilang sejak bayangan pemuda itu lenyap selepas membeli CD di kedai ini buat kali ketiga.
“Mugkin dia tak suka pada aku kot.. Mungkin selama ini, tujuan dia datang ke kedai nie bukan seperti yang aku fikirkan. Aku je yang bertepuk sebelah tangan..” Detis hati Zulaikha perlahan.
“Zulaikha, apa yang dimenungkan tue..?” Zulaikha tersentak. Kak Kuza pemilik kedai CD dan kaset itu menegur mesra. Zulaikha tersenyum sambil menggeleng.
“Zulaikha tolong kakak kemas bahagian CD lagu kat rak sebelah sana boleh..?” Pantas Zulaikha mengangguk lalu kakinya melangkah ke tempat yang ditunjuk oleh Kak Kuza itu. Dia tersentak apabila memandang CD itu. CD yang sering dibeli oleh pemuda yang misteri itu. Yang membuatkan hati wanitanya berkocak. Masih dia ingat akan kata-kata yang keluar dari bibir nipis pemuda itu.
“Saya suka awak..”
Pak.. Zulaikha tersedar dari lamunan apabila CD yang sedang disusunnya itu terjatuh ke lantai. Pantas tangannya mencapai CD tersebut yang kini berada di bawah rak CD tersebut. Tangannya mereba-raba, cuba mencapai CD yang jatuh tadi. Lain yang dicapai, lain yang dapat. Bulat mata Zulaikha memandang dompet yang kini berada di tapak tangannya kini.
“Sapa pulak yang tercicir dompet nie..? Macam dah lama je dompet nie kat bawah nie.. Tengok, penuh dengan habuk..” Zulaikha mengusap perlahan dompet itu. Membuang debu-debu yang melekat di dompet itu. Segera di buka dompet itu, cuba mencari identiti sebenar pemilik dompet tersebut. Tersentak Zulaikha melihat gambar kad pengenalan pemilik dompet itu. Zulaikha telan liur.


5hb Mei 06
Zulaikha mengeluh. Kerja ini benar-benar gila. Entah kenapa dia berasa bertanggungjawab untuk memulangkan dompet tersebut. Sehingga dia mengambil cuti separuh hari dari majikannya untuk memulangkan dompet tersebut. Berpandukan alamat yang tentera di kad pengenalan pemilik itu, Zulaikha melangkah penuh yakin menjejaki alamat itu. Kini,dirinya berada di hadapan sebuah rumah banglo yang tersergam indah. Ternganga mulutnya melihat banglo yang berada di hadapannya kini.
“Ye, cik.. Boleh saya bantu..?” Seorang wanita yang agak berusia menegurnya. Zulaikha tersenyum.
“Er, boleh saya berjumpa dengan Encik Yusof..?” Soal Zulaikha gugup. Serta-merta wajah wanita itu berubah. Perlahan-lahan wanita itu menghampirinya. Wajah Zulaikha diusap lembut. Zulaikha hanya membatu.
“Betul-betul, serupa.. Betul-betul cantik..” Dahi Zulaikha berkerut merenung wajah wanita itu.
“Apa maksud, mak cik..?” Wanita itu tersenyum. Jari-jemarinya menggengam jemari Zulaikha kemas. Zulaikha kaget.
“Mari ikut mak cik, nak..” Zulaikha hanya menurut.


Air mata Zulaikha gugur membasai pipi lembutnya. Mak Jah di hadapan mengesat air mata di pipi dengan lengan baju.
“Arwah ada sakit barah otak.” Mak Jah cuba menahan sedunya. Zulaikha ketap bibir. Cuba menahan air mata dari terus mengalir.
“Arwah Yusof balik dari pemeriksaan dan kemoterapinya lepas seminggu dia pengsan. Dia terus tak keluar bilik. Sibuk melakar gambar-gambar kamu. Kata arwah Yusof, kamu akan datang cari dia sebab cinta dia pada kamu benar-benar suci dan ikhlas. Memang benar kata Yusof, kamu datang juga selepas sebulan pemergiaannya..” Air mata Zulaikha semakin laju mengalir. Matanya menatap lakaran wajahnya sendiri yang banyak bertampal di dinding bilik arwah Yusof itu.
“Zulaikha, Mak Jah pergi buatkan air untuk kamu. Kamu duduk la sini dulu..”Zulaikha mengangguk lemah. Hari ini dia benar-benar tidak bermaya.Matanya terhenti pada CD yang tersusun rapi yang berada di atas meja tulis. Dia mendekati meja tulis itu. Zulaikha mengeluh apabila melihat plastik CD itu masih seperti dulu. Tangannya mencapai CD yang buat kali terakhir Yusof dan dia bertemu dahulu. Cover CD itu di buka. Sekeping surat yang dicoret olehnya dahulu untuk Yusof jatuh dari cover CD tersebut. Perlahan-lahan surat itu dibuka.Dia percaya, Yusof tidak menyentuh surat ini. Apatah lagi membaca kandungan surat itu.

Kehadapan pemuda misteri,
Saya juga amat menyukai awak..- Zulaikha.

“Ya Allah, inikah takdir cinta kami..?” Zulaikha menangis lagi.


8hb Mei 06
Zulaikha menutup surah Yaasin. Air mawar disiram di atas pusara Yusof. Hatinya berat untuk meninggalkan pusara itu. Pemuda yang pertama berjaya menawan hatinya yang begitu luhur. Dalam diam, dia amat mencintai pemuda itu.
“Assalamualaikum..” Salam tersebut di jawab Zulaikha dengan penuh sopan. Segera badannya dipaling ke belakang. Bulat mata Zulaikha merenung pemuda yang berada di hadapannya kini.
“Yusof..?” Pemuda itu tersenyum.
“Maafkan saya, Zulaikha. Saya Syed Zarif..” Pemuda itu memperkenalkan diri. Zulaikha kaget.
“Mana mungkin Yusof muncul semula, Zulaikha.. Banyakkan berselawat.. Tapi kenapa muka mereka sama benar? Ya Allah, apakah ini takdir yang telah kau tentukan untuk hamba-Mu yang hina ini..?” Wajah Syed Zarif dipandang sekilas, lalu segera merendahkan pandangannya apabila dilihat Syed Zarif tidak selesa dengan pandangannya itu.
“Mungkin kita tak pernah jumpa sebelum ini. Maaf kerana menganggu… Tapi, saya ada perkara penting yang ingin dibincangkan dengan awak..” Sambung Syed Zarif lagi.
“Ada apa, Syed Zarif..? Saya bersedia untuk berbincang..” Ujar Zulaikha lembut. Syed Zarif tersenyum. Senyuman itu benar-benar mengingatkan Zulaikha terhadap Yusof. Dada Zulaikha sebak.
“Saya faham kenapa Zulaikha tolak pinangan saya suatu ketika dahulu. Maafkan saya kerana terlalu tergesa-gesa untuk meminang Zulaikha tanpa usul periksa. Peminangan itu saya serahkan segala-galanya pada ummi dan abbi saya. Maaf, kerana ketika itu saya masih lagi di Mesir meneruskan pengajian. Kematian rakan Zulaikha turut melahirkan rasa simpati terhadap kehilangan Zulaikha..” Entah kenapa air mata Zulaikha mengalir perlahan.
“Mungkin ini terlalu awal. Tapi, sudikah Zulaikha menemani saya dalam menjalani kehidupan dan takdir yang telah Allah tentukan untuk setiap makhluk ciptaannya sebagai permaisuri di hati saya..?” Zulaikha hanya membatu. Dia juga tidak mengerti mengapa lidahnya begitu kelu untuk berkata-kata. Syed Zarif hanya tersenyum melihat reaksi itu. Dia mengangguk. Faham dengan keputusan Zulaikha itu sendiri.
“Jika begitu, saya pulang dulu Zulaikha. Saya faham.. Assalamualaikum..” Syed Zarif terus melangkah pergi tanpa berpaling.
“Syed Zarif…” Laungan itu benar-benar mengejutkan Syed Zarif. Bulat matanya melihat tubuh Zulaikha kian rebah menyembam tanah.


28hb Jun 08
“Yusof, jangan berlari sayang. Nanti jatuh…” Tegur Zulaikha lembut. Yusof hanya tersenyum melihat umminya itu. Zulaikha terkejut saat pinggangnya dirangkul kemas.
“Abang, segan la saya kalau orang pandang nanti..” Lengan suaminya ditepuk mesra. Syed Zarif hanya tersenyum.
“Apa salahnya..? Kita kan dah kahwin..” Pipi Zulaikha dikucap lembut.
“Abang, terima kasih kerana bahagiakan Zulaikha selama ini..” Zulaikha membalas pelukan suaminya itu. Bumi Anbia itu menjadi saksi cinta mereka.
“Abang pun nak berterima kasih pada isteri abang ini.. Zulaikha Az-Zahra..” Zulaikha tersenyum bahagia. Kepalanya didongak ke langit. Zulaikha terseyum. Al-Fatihah untuk arwah Yusof. Semoga dia bahagia di‘sana’…